Friday, September 12, 2008

Kebangkitan Roslin

ROSLIN mara ke separuh akhir Terbuka Taiwan selepas menang ke atas Chen Hong pada aksi suku akhir semalam.
PEMAIN veteran, Mohd. Roslin Hashim semakin hampir untuk meraih gelaran pertamanya di pentas antarabangsa tahun ini selepas mengetuai cabaran pemain negara ke pusingan separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan semalam.
Menyertai bekas pemain No. 1 dunia itu ialah perseorangan wanita, Lydia Cheah serta dua beregu muda, Mohd. Razif Abdul Latif-Tan Wee Kiong dan Ong Soon Hock-Hoon Thien How.
Begitupun, pada aksi suku akhir semalam, Roslin dipaksa bekerja keras dalam permainan tiga set sebelum menang 21-19, 16-21, 21-12 ke atas pemain China, Chen Hong.
Dengan kemenangan itu, Roslin yang juga pilihan ketujuh bakal membuat perhitungan dengan bintang sensasi Vietnam, Nguyen Tien Minh dalam buruan ke perlawanan akhir.
Kali terakhir Roslin memenangi gelaran antarabangsa ialah pada November tahun lalu menerusi kejayaannya pada Terbuka Vietnam.
Sementara itu, satu lagi aksi separuh akhir perseorangan lelaki akan menemukan pilihan pertama dari Indonesia, Simon Santoso dengan pemain Belanda, Eric Pang.
Simon mara dalam kelompok empat pemain terbaik selepas mudah menjinakkan seorang lagi pemain negara, Lee Tsuen Seng 21-17, 21-15 sementara Pang menyingkirkan pemain Jepun, Saeki Koichi 21-12, 21-13.
Selain Roslin, harapan negara turut disandarkan kepada Lydia dalam acara perseorangan wanita selepas pemain ranking ke-72 itu mencipta kejutan pada saingan suku akhir.
Semalam, Lydia menewaskan pemain Jepun, Mayu Sekiya 21-18, 17-21, 21-13 dan akan berdepan pemain tuan rumah, Chiu Yiju.
Saingan beregu lelaki pula menyaksikan kemaraan dua gandingan muda negara ke separuh akhir. Razif-Wee Kiong mara selepas mencatat kemenangan 21-18, 21-16 ke atas beregu Indonesia, Hendra Wijaya-Uki Kasah Yoga dan mereka akan menentang pilihan pertama dari Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen.
Sementara cabaran Soon Hock-Thien How diteruskan menerusi kejayaan menumpaskan pilihan keempat dari Indonesia, Hendra Aprida Gunawan-Joko Riyadi 16-21, 21-18, 26-24.

Monday, September 1, 2008

Nicol kekal No. 1 dunia

RATU skuasy negara, Datuk Nicol David berjaya mengekalkan status sebagai pemain No. 1 dunia untuk 26 bulan berturut-turut dalam ranking terbaru Persatuan Pemain Skuasy Wanita Antarabangsa (WISPA).
Pemain kelahiran Pulau Pinang itu berjaya memintas rekod pencapaian juara dunia lima kali, Sarah Fitz-Gerald dari Australia yang mendahului ranking WISPA selama 24 bulan berturut-turut mulai November 1996.
Pemain Australia itu kemudian mencapai status pemain No. 1 dunia selama 40 bulan sebelum mengambil keputusan bersara pada 2003.
Dalam ranking terbaru WISPA semalam, Nicol, 24, mengumpul purata 2,940.588 mata selepas memenangi enam kejuaraan dalam Jelajah Dunia WISPA tahun ini iaitu Terbuka Marsh Apawarnis, KL CIMB, Britain, Seoul, Malaysia dan CIMB Singapore Masters.
Pemain Australia, Rachael Grinham mengekori di belakang dengan pungutan purata 1,858.048 mata diikuti Natalie Grinham dari Belanda dengan 1,842.941 mata.Pemain Malaysia yang turut tersenarai dalam ranking terbaru WISPA itu ialah Sahron Wee di tangga ke-22, Delia Arnold (36), Tricia Chuah (43), Lim Yoke Wah (51), Low Wee Wern (54), Siti Munirah Jusop (61), Pushppa Devi (82). Tan Yan Xin (83), Nessrine Ariffin (94), Zulhijjah Azan (104), Kuan Choy Lin (121), Wei Lin Hooi (130), Nabilla Ariffin (163) dan Jo Ann Jee di tangga ke-192.