Friday, September 12, 2008

Kebangkitan Roslin

ROSLIN mara ke separuh akhir Terbuka Taiwan selepas menang ke atas Chen Hong pada aksi suku akhir semalam.
PEMAIN veteran, Mohd. Roslin Hashim semakin hampir untuk meraih gelaran pertamanya di pentas antarabangsa tahun ini selepas mengetuai cabaran pemain negara ke pusingan separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan semalam.
Menyertai bekas pemain No. 1 dunia itu ialah perseorangan wanita, Lydia Cheah serta dua beregu muda, Mohd. Razif Abdul Latif-Tan Wee Kiong dan Ong Soon Hock-Hoon Thien How.
Begitupun, pada aksi suku akhir semalam, Roslin dipaksa bekerja keras dalam permainan tiga set sebelum menang 21-19, 16-21, 21-12 ke atas pemain China, Chen Hong.
Dengan kemenangan itu, Roslin yang juga pilihan ketujuh bakal membuat perhitungan dengan bintang sensasi Vietnam, Nguyen Tien Minh dalam buruan ke perlawanan akhir.
Kali terakhir Roslin memenangi gelaran antarabangsa ialah pada November tahun lalu menerusi kejayaannya pada Terbuka Vietnam.
Sementara itu, satu lagi aksi separuh akhir perseorangan lelaki akan menemukan pilihan pertama dari Indonesia, Simon Santoso dengan pemain Belanda, Eric Pang.
Simon mara dalam kelompok empat pemain terbaik selepas mudah menjinakkan seorang lagi pemain negara, Lee Tsuen Seng 21-17, 21-15 sementara Pang menyingkirkan pemain Jepun, Saeki Koichi 21-12, 21-13.
Selain Roslin, harapan negara turut disandarkan kepada Lydia dalam acara perseorangan wanita selepas pemain ranking ke-72 itu mencipta kejutan pada saingan suku akhir.
Semalam, Lydia menewaskan pemain Jepun, Mayu Sekiya 21-18, 17-21, 21-13 dan akan berdepan pemain tuan rumah, Chiu Yiju.
Saingan beregu lelaki pula menyaksikan kemaraan dua gandingan muda negara ke separuh akhir. Razif-Wee Kiong mara selepas mencatat kemenangan 21-18, 21-16 ke atas beregu Indonesia, Hendra Wijaya-Uki Kasah Yoga dan mereka akan menentang pilihan pertama dari Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen.
Sementara cabaran Soon Hock-Thien How diteruskan menerusi kejayaan menumpaskan pilihan keempat dari Indonesia, Hendra Aprida Gunawan-Joko Riyadi 16-21, 21-18, 26-24.

1 comment:

Hasbi-Ibrahim said...

Semoga Roslin dapat bangkit semula seperti pencapaian cemerlangnya dahulu malah lebih baik lagi. Ini bakal memberikan ruang kepadanya untuk mencipta rangking dunia seterusnya cabaran Sukan Olimpik London nanti. Harapan kita semua hanyalah kegemilangan sukan dapat dikecapi di peringkat antarabangsa.

" MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA "