Sunday, October 5, 2008

'Masih belum terlambat pulih imej hoki negara'


Malaysia perlu manfaat sepenuhnya jurulatih terbaik yang dimiliki JURULATIH terbaik dimiliki


Malaysia yang menjadi aset hoki negara ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya terutama di peringkat akar umbi dalam usaha memulihkan kembali kegemilangan sukan itu. Itu kesimpulan konsultan hoki negara, Paul Lissek ketika berkongsi pendapat mengenai kesuraman prestasi hoki Malaysia yang kerap dibangkitkan.
Namun, bagi bekas jurulatih kebangsaan kelahiran Jerman itu, masih tidak terlambat untuk memulihkan keadaan dengan syarat perancangan pemulihan mendapat penggemblengan tenaga dan kerjasama semua pihak. "Saya lihat, Malaysia mempunyai ramai jurulatih terbaik. Saya mula datang ke sini pada 1998 dan ketika itu, Malaysia sudah pun mempunyai ramai pemain hebat, begitu juga struktur program pembangunan. "Malah, saya dengar, ramai bekas pemain kebangsaan juga berminat dalam kejurulatihan. Maka, mengapa tidak menempatkan kumpulan ini di peringkat akar umbi kerana itu tempat seharusnya bagi jurulatih terbaik - melatih kumpulan pemain muda," katanya.
Lissek yang pernah menjadi jurulatih negara berkongsi rahsia kejayaan skuad remaja Jerman yang dikemudi sekitar 1979-1990 - hasil usaha gigih kelab dan negeri, bukan bergantung sepenuhnya terhadap jurulatih. Beliau berkata, pendapat yang diusulkan dalam cadangan program pembangunan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum ini, turut mencadangkan supaya lebih banyak kejohanan peringkat Bawah 12 Tahun, 14 Tahun dan 16 Tahun diadakan sebagai susulan dalam usaha membentuk pasukan mantap. "Bukan saya ingin membandingkan, tetapi di Jerman, pemain skuad remaja sudah mempunyai sekurang-kurangnya 100 cap tetapi di Malaysia, pemain remaja kita hanya menyertai 10 perlawanan," katanya sambil mengakui ketiadaan lawan negara jiran yang mempunyai tahap setanding untuk dijadikan rakan `sparring' menyukarkan keadaan. "Program pembangunan yang ada kini tidak berapa bagus tetapi saya tidak katakan ia kelemahan MSN atau sesiapa. Masih ada masa untuk membaikinya, sekali gus mempertingkatkan prestasi pemain kebangsaan.
"Kenapa tidak menggunakan kumpulan jurulatih terbaik Malaysia untuk melatih bakat muda di setiap negeri atau sekolah sukan seperti di Bandar Penawar?" kata Lissek.

1 comment:

Hasbi-Ibrahim said...

Malaysia mampu bangkit dan menjadi pasukan gergasi dunia. Perancangan rapi perlu bagi mengelakkan pembaziran sumber negara. Malaysia mempunyai ramai bintang - bintang yang diiktiraf kehebatannya oleh negara luar bersedia mengembeling tenaga dan pengalaman demi negara Malaysia tercinta.
" MALAYSIA BOLEH "