Friday, October 10, 2008

Armstrong jadi tarikan LTdL 2009


KEHADIRAN ikon lumba basikal dunia yang juga juara tujuh kali Tour De France, Lance Armstrong adalah antara tarikan pada perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) dari 9 hingga 15 Febuari depan. Namun kehadiran pelumba berusia 37 tahun itu bukan sebagai pelumba tetapi terbabit dalam program promosi LTdL 2009, terutamanya dalam usaha memerangi penyakit kanser seperti yang dihidapinya sebelum ini.
Ketua Pegawai Operasi LTdL 2009, Datuk Naim Mohamad berkata, kehadiran Armstrong adalah usaha untuk menarik lebih ramai pelancong dalam merealisasikan hasrat kerajaan menjadikan acara sukan sebagai sukan pelancongan bagi menjana pertumbuhan ekonomi negara. Naim berkata selain Armstrong, pihaknya juga menjemput pasukannya iaitu Astana untuk menyertai edisi ke-14 perlumbaan berstatus 'hors classe' itu. "Saya sudah menghantar surat jemputan kepada mereka dan akan mendapat pengesahan di dalam masa terdekat," katanya yang juga Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF).
Mengenai peringkat perlumbaan LTdL 2009 yang semakin sedikit iaitu tujuh peringkat, Naim berkata PKBM terpaksa mengikut corak sekarang. "Sudah menjadi corak di peringkat dunia dengan tujuh hingga lapan peringkat sahaja diadakan selepas banyak pasukan merungut kerana terpaksa keluar dari kem latihan terlalu lama sehingga dua minggu bagi sesuatu kejohanan," katanya. LTdL yang bermula pada 1996 mempunyai 11 peringkat perlumbaan sebelum diubah kepada 12 peringkat pada 1997-2001 dan pada 2002-2007 menjadi 10 peringkat perlumbaan. "Selain itu pada tahun depan kita juga mengehadkan hanya 20 pasukan akan bertanding berbanding 25 pasukan sebelum ini, dengan lima pasukan berstatus Pro Tour," kata Naim.
Seperti edisi lalu, Malaysia akan diwakili tiga pasukan iaitu pasukan kebangsaan, pasukan benua MNCF dan Le Tua bagi menggalas cabaran berdepan pelumba luar negara. - Bernama

1 comment:

Hasbi-Ibrahim said...

Semoga hasrat kerajaan membuahkan hasil yang baik.
" MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA "