Sunday, October 5, 2008

GPA1: Fairuz tawan Zandvoort

PEMANDU berpengalaman negara, Fairuz Fauzy (gambar) melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara kategori pecut pada perlumbaan Grand Prix (GPA1) di Zandvoort, Belanda semalam.
Ia juga dianggap kejayaan cukup cemerlang pasukan A1 Malaysia yang menggunakan enjin Ferrari, sekali gus memenangi siri pertama perlumbaan musim ini.
Ternyata hujan lebat pada perlumbaan semalam tidak menghalang litar lumba itu dibanjiri peminat sukan pemotoran untuk menyaksikan kehebatan Fairuz.
Pasukan Malaysia bermula dari grid keempat selepas berjaya mempamerkan prestasi hebat pada sesi kelayakan kelmarin.
Kereta keselamatan digunakan dari awal perlumbaan ekoran cuaca buruk, namun bendera hijau bagi memulakan perlumbaan mula dikibarkan selepas dua pusingan.
Fairuz berjaya naik selangkah di hadapan selepas pasukan Ireland terkandas pada awal perlumbaan.
Bagaimanapun dia dipintas pasukan Switzerland selepas beberapa pusingan kemudian.
Fairuz kemudian kembali dengan saingan hebat untuk menduduki tempat ketiga pada separuh perlumbaan.
Dengan pengalamannya yang luas, Fairuz berupaya memintas pasukan Belanda untuk berada di tempat kedua.
Dengan berbaki empat pusingan, Fairuz kemudiannya terus memburu pendahulu dari New Zealand dan berjaya memintasnya dalam satu pergerakan yang cukup cantik, sekali gus membolehkannya menamatkan perlumbaan di tempat pertama.
"Saya amat gembira dengan kemenangan ini. Ia merupakan saingan yang amat sengit dan keadaan litar yang cukup sukar menjadikan ia tambah mencabar untuk memandu kereta baru ini, tetapi kami sudah bekerja keras sebagai satu pasukan, sekarang masa untuk meraikannya," kata Fairuz.
"Saya berharap kami dapat perolehi lebih banyak kejayaan lagi selepas ini, tapi jika keadaan cuaca berterusan begini ia akan menampilkan cabaran yang bertambah besar untuk semua."
Sementara itu, Ketua Eksekutif pasukan Malaysia, Jack Cunningham turut menyuarakan rasa gembira dengan persembahan pasukannya yang cukup cemerlang dalam perlumbaan semalam.
"Setiap anggota memberikan komitmen penuh dalam menyediakan kereta baru itu. Fairuz memandu dengan cukup cemerlang, semasa keadaan cuaca yang tidak banyak membantu.
"Saya berterima kasih kepada setiap anggota pasukan dan juga rakan kongsi komersial kami yang banyak menyokong," katanya

1 comment:

Hasbi-Ibrahim said...

Pencapaian Fairuz Fauzi amat membanggakan dan ia menjadi pemangkin perkembangan industri permotoran prestasi tinggi di negara ini. Hasrat negara melahirkan ramai ahli sukan bertaraf dunia dalam pelbagai bidang akan menjadi realiti sedikit masa nanti. Malaysia mampu berada sama taraf dan disegani.