Friday, August 8, 2008

Azizulhasni tetap rasa gemuruh


BEIJING - Walaupun bangga diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang pada majlis perasmian temasya Sukan Olimpik XXIX hari ini, namun perasaan gemuruh tidak dapat dielakkan pelumba sensasi negara, Azizulhasni Awang (gambar).
Jaguh pecut lumba basikal negara berusia 20 tahun itu teruja apabila bakal mengetuai perarakan kontinjen negara seramai 33 atlet dan 29 pegawai masuk ke Stadium Nasional.
"Saya berbohong jika saya mengatakan tiada tekanan tetapi saya harap perasaan takut ini tidak akan menjejaskan prestasi dalam acara saya," kata Azizulhasni setibanya di Beijing dari Sepanyol semalam.
Azizulhasni, pelumba kelahiran Terengganu akan menyertai tiga acara iaitu pecut 200 individu, keirin bersama Josiah Ng dan acara berpasukan bersama Josiah dan Muhd. Rizal Tisin mulai 15 Ogos ini.
Pelumba muda itu pernah menduduki tempat kelapan acara pecut pada Kejohanan Trek Sedunia di Manchester, England, dengan catatan 10.16 saat, sekali gus memecahkan rekod Asia.
Azizulhasni, Josiah, Rizal dan Muhd. Edrus Yunus telah mengikuti latihan lebih sebulan di bandaraya Valencia, Sepanyol sebagai persediaan akhir menjelang cabaran Sukan Olimpik di Velodrom Laoshan di Beijing.
"Bangga dapat layak ke Sukan Olimpik pun sudah cukup bertuah, dapat pula menjadi pembawa bendera negara, satu kemegahan buat diri saya dan keluarga," kata Azizulhasni.
Azizulhasni yang muncul juara acara 200m pecut dan keirin pada Kejohanan Asia di Jepun tahun ini berkata, dia tidak memikirkan soal merangkul pingat di Beijing tetapi hanya mampu berusaha sebaik mungkin.
Katanya, latihan di Valencia berjalan lancar dan dia juga mengambil kesempatan menonton rakaman video perlumbaan antarabangsa bagi mendalami taktik pasukan lawan.
Pada temasya Sukan Olimpik, Malaysia tidak pernah meraih pingat dalam acara lumba basikal dan pencapaian terbaik ialah menerusi M. Kumaresan dan Josiah yang melayakkan diri ke peringkat akhir acara perlumbaan mata dan keirin masing-masing pada edisi 1992 dan 2004.

1 comment:

Hasbi-Ibrahim said...

Atlet muda merupakan harapan negara untuk mengukir dan menaikkan imej negara di arena sukan antarabangsa. Azizul hasni Bin Awang, atlet lumba basikal antara induvidu pilihan bakal menyuntik semangat rakan – rakan atlet lain dalam menyahut cabaran negara untuk direalisasikan.

Atlet muda ini mempunyai rekod pencapaian peribadi yang cemerlang serta mampu menyaingi dan memberi cabaran kepada pelumba – pelumba handalan kini. Keyakinan ini mampu merealisasikan impian negara untuk membawa balik pingat dalam sukan Olimpik di Beijing pada tahun ini.

“ MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA ”