Wednesday, August 27, 2008

Menteri arah KOAM selesai segera

KEMENTERIAN Belia dan Sukan mengarahkan supaya kes dakwaan seorang pegawai wanita Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) hampir dicabul oleh seorang pegawai KOAM diselesaikan segera.
Menterinya, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau mahu KOAM memandang serius dan menyiasat kes itu serta mengarahkan satu laporan diberikan kepadanya secepat mungkin.
Katanya, Majlis Sukan Negara (MSN) telah dua kali menghantar surat kepada KOAM untuk mendapatkan penjelasan, tetapi setakat ini masih belum mendapatkan sebarang maklum balas.
"Saya difahamkan satu panel siasatan telah ditubuhkan untuk kes ini.
"Sekiranya dakwaan betul, saya mahu persatuan mengambil tindakan tegas ke atas pegawai tersebut," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen semalam.
Terdahulu, beliau diminta mengulas mengenai dakwaan seorang pegawai perhubungan wanita bahawa dia hampir dicabul oleh pegawai KOAM itu di Taiwan, Mei lepas, dalam satu surat aduan kepada beberapa pemimpin termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden KOAM, Datuk Seri Shahidan Kassim. - Bernama

1 comment:

Hasbi-Ibrahim said...

Kementerian perlu mengambil berat dan pemantauan kerap mesti dilaksanakan bagi memastikan proses siasatan dapat berjalan dengan lancar. Kementerian perlu mengadili dengan saksama bagi mengelakan dari pihak yang teraniaya. Dengan kebijaksanaan Menteri Belia dan Sukan, kita mengharapkan agar kes ini dapat diselesaikan dengan cepat bagi memulihkan imej badan sukan tersebut.