Sunday, August 17, 2008

Rashid kini ketua jurulatih

RASHID Sidek akan mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih baru skuad badminton negara selaras dengan tugasnya sebelum ini yang mengendalikan pasukan bagi Program 2012. Ini berikutan tanggungjawab Yap Kim Hock sebagai ketua jurulatih ketika ini berakhir sebaik tamat cabaran Sukan Olimpik Beijing iaitu sasaran yang diletakkan kepadanya. Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Nadzmi Salleh mengesahkan Rashid akan diserahkan tugas itu mengikut perancangan yang sudah dibuat sebelum ini.
“Program BAM sekarang adalah mengikut putaran Olimpik. Rashid sebelum ini diberi tugas melatih pemain dalam Program 2012 yang disasarkan untuk Sukan Olimpik London pada tahun itu.
“Kita harus memberi peluang kepada Rashid pula untuk membuktikan kemampuan dan keberkesanan programnya.
“Namun, mungkin ada sedikit perubahan dilakukan khususnya membabitkan pemain kerana kita mahu mereka yang benar-benar berkemampuan dikekalkan,” katanya selepas jamuan makan tengah hari dengan media Malaysia, semalam.
Mengenai kedudukan Rexy Mainaky sebagai jurulatih negara, Nadzmi berkata badan induk itu masih memerlukan khidmat bekas pakar beregu Indonesia itu.
“Dia mempunyai kebolehan yang baik untuk melatih dan cukup dalam tugasnya. Biarpun bukan hanya faktor jurulatih boleh menentukan kejayaan pemain, saya percaya Jawatankuasa Kejurulatihan BAM bersetuju sumbangannya selama ini juga adalah cukup baik,” katanya.
Sebelum ini, Rexy yang mengakui bertanggungjawab atas kegagalan dua pasangan negara di Olimpik, menyerahkan kedudukannya kepada BAM apabila kontraknya berakhir pertengahan tahun depan.

2 comments:

Hasbi-Ibrahim said...

Peralihan memikul tugas sebagai ketua jurulatih skuad badminton negara bagi program Sukan Olimpik London 2012 kepada Rashid Sidek adalah tepat pada masanya. Sepatutnya perkara seperti ini perlu dilaksanakan lebih awal lagi. Kebolehan dan pengalaman Rashid selama ini boleh dibanggakan dan harus diberikan peluang serta kepercayaan.

Rashid mampu menaikkan kegemilangan sukan badminton tanah air seperti masa lampau malahan lebih baik lagi. Percaya atau tidak kegemilangan nama keluarga Datuk Haji Sidek akan berulang bila nama seperti Mohd Zakry Bin Abdul Latif, Mohd Arif Bin Abdul Latif, Mohd Najib Bin Abdul Latif, Mohd Razif Bin Abdul Latif dan empat orang adik – beradik mereka yang lain akan ditonjolkan suatu hari nanti.

Ini bukan soal kroni atau pertalian/hubungan saudara, tetapi berdasarkan peluang dan bakat yang ada pada mereka.

Keyakinan ini lahir berdasarkan maklumat – maklumat yang diperolehi sepanjang perjalanan karier mereka, sebagai contoh pemain beregu Mohd Zakry Bin Latif dan Fairuzizuan Bin Mohd Tazari yang sedang meningkat naik dengan memenangi beberapa kejohanan badminton dunia, begitu juga adiknya Mohd Arif.

Apa yang pasti seluruh rakyat Malaysia mengharapkan peranan besar Rashid dalam merealissasikan impian negara mengidamkan pingat emas olimpik sekian lamanya.

EmBuN PaGi said...

Salam,

bak kata pepatah 'LAIN PADANG LAIN BELALANGNYA, LAIN LUBUK LAIN IKANNYA.MAKSUDNYA LAIN JURULATIH LAIN LA CARANNYA.....mungkin...

embun pagi