Friday, August 8, 2008

Olimpik Beijing: Amirul diundi dalam kumpulan sukar




BADANG negara, Amirul Hamizan Ibrahim yang akan memulakan cabaran dalam acara angkat berat kategori 56 kilogram, esok, diundi dalam Kumpulan A yang dianggap sukar dengan kehadiran beberapa peserta yang berkemampuan memenangi pingat. Dalam undian dijalankan semalam, turut bersama bersama Amirul, pemenang tiga emas di Sukan Komanwel 2002, adalah peserta pilihan dari China, Long Qingquan, Eko Irawan (Indonesia) dan Anh Hoang (Vietnam). Tujuh peserta lain dalam kumpulan sama yang akan membuka cabaran mereka pada sebelah petang adalah Sergio Alvarez (Cuba), Wang Shin Yuan, Yang Chin Yi (Taiwan), Khalil El Maaoui (Tunisia), Ri Kyong-sok, Cha Kum-col (Korea Utara) dan Vitali Dzerbianiou (Bulgaria).
Kumpulan B yang beraksi pada sebelah pagi pula terdiri daripada Sedat Artuc (Turki), Pongsak Maneetong (Thailand), Sergio Rada (Colombia), Igor Grabucea (Moldova), Yasunobu Sekikawa, Masaharu Yamada (Jepun), Vito Dellino (Itali), Musoke Kivumbi (Uganda) dan Tom Goegebuer (Belgium). Pengurus pasukan, Abu Hanapah Ismail berkata, tiada kejutan dalam undian itu kerana sememangnya itulah harapan jurulatih negara, Lin Xinhui yang merangka strategi Amirul berdasarkan kehadiran peserta handalan. “Harus diingat ini adalah Sukan Olimpik di mana semuanya adalah peserta handalan yang layak atas dasar merit.
“Amirul masih belum mengetahui mengenai undian ini tapi saya percaya dia tidak akan terkejut kerana itu adalah harapan jurulatihnya sendiri,” katanya. Badang negara itu mara ke Beijing dalam Kategori A selepas menduduki tempat keempat pada kejohanan kelayakan Asia di Jepun April lalu dengan angkatan keseluruhan sebanyak 262kg. Di Jepun, dia mengangkat 121kg bagi snatch manakala 141kg untuk clean & jerk. “Amirul cuba juga untuk mengangkat bebanan sebanyak 147kg sewaktu di Jepun tetapi gagal,” kata Abu Hanapah yang menjelaskan sejak tiba di Beijing Selasa lalu, atlit itu tidak berdepan masalah sepanjang sesi latihannya.

3 comments:

Hasbi-Ibrahim said...

Walaupun berhadapan dengan pencabar yang jauh lebih handal, namun perjuangan harus diteruskan. Walaupun tidak dapat meraih sebarang pingat, namun masih boleh mencipta sejarah peribadi dan negara.

aiShaH said...

I agree with you

EmBuN PaGi said...

Salam,
saya juga bersetuju dengan ape yang hasbi cakap tu, kejayaan peribadi sesungguhnya mempunyai nilai yang tidak terhingga untuk seseoarang terutamanya atlit yang berjuang untuk mengharumkan nama negara disamping mengumpul kejayaan peribadi mereka.

embun pagi.