Sunday, August 3, 2008

BAM buat keputusan Jumaat


TEKA-teki siapa dua antara tiga beregu badminton lelaki negara yang layak ke Sukan Olimpik Beijing, Ogos 2008 bakal terjawab Jumaat ini.
Begitupun pasangan mana yang akan dipilih ke temasya tersebut bergantung kepada tahap kecergasan yang akan dilakukan ke pemain badminton negara hari ini.
Menurut jurulatih beregu negara, Rexy Mainaky, kecederaan bahu yang dialami Lee Wan Wah tidak dilihat sebagai satu kelebihan kepada beregu muda Mohd. Zakry Abdul Latif-Mohd. dan Fairuzizuan Mohd. Tazari.
“Selepas Terbuka Switzerland sehingga Piala Thomas, prestasi yang dipamerkan Fairuz dan Zakry dilihat jauh lebih baik berbanding Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong. Bagaimanapun peluang dibuka kepada ketiga-tiga pasangan ini.
“Seperti yang sedia maklum Wan Wah yang berpasangan dengan Choong Tan Fook mengalami kecederaan dan dia akan menjalani ujian perubatan esok (hari ini).
“Apa pun kita lihat dahulu keputusannya,” kata Rexy selepas menerima kunjungan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik 2008, Datuk Ho Koh Chye semalam.
Dalam masa dua hari lagi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan mengumumkan dua beregu pilihan yang bakal beraksi di temasya paling berprestij itu selepas laporan kesihatan di terima oleh pihaknya.
Dalam pada itu Fairuzizuan menyatakan bahawa dia dan pasangannya sentiasa bersedia untuk mempamerkan aksi cemerlang sekiranya terpilih untuk mewakili negara ke temasya tersebut.
“Olimpik merupakan kejohanan yang besar, jika kami layak ke sana sudah tentu kami akan memberikan yang terbaik dan buat lebih dari yang jurulatih berikan.
“Sekiranya kami dipilih kami akan berusaha bersungguh-sungguh dalam tempoh terdekat ini,” ujar Fairuzizuan bersemangat.
Sementara itu Datuk Ho Koh Chye berkata, selain harapan diletakkan pada beregu negara, pemain perseorangan lelaki, Lee Chong Wei dilihat sebagai prospek terbaik untuk menyumbang pingat buat negara.
“Jika kita imbas kembali pada Piala Thomas lalu, Chong Wei agak sukar ditewaskan dan dia berjaya menewaskan Lin Dan dengan straight set, jadi saya rasa dia mampu mengulangi kejayaannya nanti.
“Mengenai pemilihan pemain beregu, prestasi yang ditonjolkan setiap pemain amat memberangsangkan apa pun kita tunggu keputusan daripada BAM,” ujar Ho.

1 comment:

Hasbi-Ibrahim said...

Sukan Olimpik di Beijing merupakan antara sukan yang terbesar dunia. Malaysia antara negara yang turut menyahut cabaran untuk mengukir sejarahnya yang tersendiri. Acara badminton adalah salah satu antara acara yang di pilih untuk menggalas tanggungjawab yang berat meningkatkan imej negara di arena sukan antarabangsa.

Dalam pada itu, pemilihan pemain dalam mendokong hasrat murni ini mesti telus dan di ambil peduli. Pemain yang bakal beraksi mestilah individu yang telah bersedia dari segi mental dan fizikal. Kemantapan antara dua unsur ini mampu menghasilkan persembahan dan prestasi yang cemerlang.

Adalah wajar sekiranya pihak pengurusan BAM dapat meyakini dan meletakan harapan kepada pasangan beregu muda Mohd Zakry Bin Abdul Latif dan Fairuzizuan Bin Mohd Tazari. Mereka mampu menggalas dan dipertanggungjawabkan untuk melakar sejarah negara. Ini kerana, mereka telah menunjukkan prestasi dan pencapaian yang baik dari kejohanan sebelumnya.

Anak muda ini perlu diberi peluang dan pengalaman untuk kembali beraksi di pentas dunia pada masa hadapan.

“ Kita memerlukan tentera yang mantap untuk bertempur di medan perang, selain kelengkapan canggih yang disediakan ”