Friday, August 8, 2008

Barisan negara sedia gempur gelora Beijing


BEIJING - Atlet Malaysia kini tenang menanti Sukan Olimpik XXIX yang akan membuka tirainya secara rasmi hari ini.
Walaupun keadaan berjerebu yang memanaskan cuaca berterusan, mereka tidak membuang masa untuk menyesuaikan diri dengan gelanggang pertarungan.
Berita baiknya ialah atlet negara dilapor telah dapat menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca.
"Mereka dalam keadaan bersiap sedia untuk bertarung," kata Ketua kontinjen Malaysia, Datuk Ho Koh Chye yang ternyata gembira dengan situasi terbaru itu.
Pada temasya kali ini, kontinjen negara mengidam sekurang-kurangnya satu pingat emas terutama daripada pasukan badminton, lebih-lebih lagi menerusi jaguh perseorangan lelaki, Lee Chong Wei.
Harapan untuk sebarang pingat turut disandarkan kepada trio memanah lelaki, Cheng Chu Sian, Muhammad Marbawi Sulaiman dan Wan Khalmizam Abdul Aziz yang kini menduduki ranking keempat dunia.
Yang lain ialah pasukan kuartet lumba basikal yang terdiri daripada Azizulhasni Awang, Josiah Ng, Rizal Tisin dan Muhd. Edrus Yunus selepas kejayaan memberangsangkan mereka dalam acara keirin dan pecut pada Kejohanan Lumba Basikal Asia tahun ini.
"Setiap orang tahu apa yang diharapkan daripada mereka. Kita memiliki pencabar kelas dunia, kumpulan kedua yang mampu memberi cabaran dan para atlet yang akan melakukan yang terbaik," kata Koh Chye merujuk kepada 33 atlet negara yang akan bertanding dalam sembilan acara.
Sejak menyertai Olimpik pada edisi 1956 kecuali pada tahun 1980 di Moscow, Malaysia menggondol pingat pertama iaitu gangsa pada edisi 1992 menerusi acara badminton daripada pasangan adik beradik, Razif dan Jalani Sidek.
Empat tahun kemudian, pasangan Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock memenangi perak dan pingat gangsa menerusi pemain perseorangan, Rashid Sidek di Atlanta.
Bagi malam pembukaan hari ini, Koh Chye berkata, terpulang kepada pengurus pasukan untuk menentukan sama ada mahu atlet mereka menyertai perarakan.
"Acara pembukaan memakan masa berjam-jam dan setiap pengurus boleh menentukan sama ada untuk merehatkan atlet mereka dengan mengambil kira soal cuaca.
"Saya jangka kita akan mempunyai antara 20 hingga 24 orang atlet dan pegawai untuk acara perarakan," katanya. - Bernama

2 comments:

Hasbi-Ibrahim said...

Gempur tembok China dengan semangat dan harapan yang membara demi Negara Malaysia yang tercinta. Kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua atlit yang terlibat dengan persiapan yang dijalankan dengan sistematik mampu meraih dan merealisasikan impian yang telah lama terpendam seluruh rakyat Malaysia.

Walaupun merupakan antara negara yang kecil, namun Malaysia mampu memberikan cabaran dan tentangan yang sengit.

Semoga Sukan Olimpik di Beijing pada tahun ini mampu meraih sebarang pingat mengatasi pencapaian terdahulu.

aiShaH said...

Saya harapkan you olah ayat yang dibaca dan buat ayat penulisan sendiri dalam blog ini. Tidak perlu ambil 100% rencana yang dibaca. Baca fahamkan dan buat ayat sendiri supaya dapat di komen oleh kawan-kawan lain